Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kenyataan Yang Berhormat Menteri Pembangunan sempena Hari Bumi 2020

KENYATAAN OLEH
 YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA IR. AWANG HAJI SUHAIMI BIN HAJI GAFAR, MENTERI PEMBANGUNAN
SEMPENA HARI BUMI KE-50

 YB Menteri Pembangunan.jpg

Pada hari ini, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pembangunan memperingati Sambutan Hari Bumi ke-50 yang diraikan di seluruh dunia bagi menghargai bumi dan memupuk rasa tanggungjawab orang ramai untuk sama-sama memelihara alam sekitar. Dengan bertemakan "Tindakan Iklim", Hari Bumi tahun ini menekankan kepentingan tindakan serta perpaduan daripada semua lapisan masyarakat dalam menangani salah satu isu alam sekitar global yang paling mencabar pada masa ini iaitu perubahan iklim.

Di peringkat global, Negara Brunei Darussalam hanya menyumbang sekitar 0.025 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dan masih memiliki salah satu sinki karbon yang paling tinggi dengan 72 peratus liputan hutan. Walaupun sumbangan Negara Brunei Darussalam kepada pemanasan global adalah diantara yang paling rendah, Negara tidak terlepas daripada terkesan oleh impak perubahan iklim seperti hujan lebat, banjir, gelombang panas dan kebakaran hutan. Kesan-kesan ini menjejaskan kesejahteraan penduduk, landskap, habitat liar dan kehidupan harian secara amnya. Suhu purata Negara Brunei Darussalam pula telah menunjukkan peningkatan 0.25 darjah Celsius setiap dekad dengan jumlah hujan meningkat pada kadar 100mm setiap dekad.

Dalam menangani impak perubahan iklim, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkukuhkan urus tadbir perubahan iklim untuk memastikan tindakan iklim ditangani secara strategik dengan pendekatan "Whole-of-Nation" di peringkat kebangsaan. Ini adalah melalui Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim dan tiga kumpulan kerja mengenai Mitigasi Perubahan Iklim, Adaptasi dan Daya Tahan Perubahan Iklim, dan Kerangka Sokongan Perubahan Iklim.

Dengan adanya urus tadbir perubahan iklim ini, satu deraf Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah digubal dengan bertujuan untuk mengurangi pelepasan gas rumah hijau Negara dan pada masa yang sama, meningkatkan keupayaan Negara dalam menghadapi kesan-kesan perubahan iklim. Strategi-strategi yang dikenalpasti untuk menyokong sasaran berikut adalah melalui pengawalan pelepasan fugitive industri, liputan hutan, kenderaan lestari, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan tenaga lestari, pengurusan sampah, dan kedayatahanan dan adaptasi perubahan iklim.

Antara usaha lain yang telah dilaksanakan termasuk langkah-langkah adaptasi perubahan iklim untuk meningkatkan daya tahan lingkungan binaan Negara Brunei Darussalam melalui projek mitigasi banjir, perlindungan cerun dan perlindungan pantai. Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan mula menangani perubahan iklim melalui Penilaian Impak Alam Sekitar bagi aktiviti-aktiviti yang tertentu.

Negara Brunei Darussalam akan sentiasa memastikan komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris yang ditandatangani pada Hari Bumi empat tahun yang lalu dilaksanakan. Tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan menyampaikan "Nationally Determined Contribution" yang dikemaskini yang mana akan mencerminkan kesungguhan Negara dalam mengatasi isu perubahan iklim di peringkat kebangsaan di bawah Perjanjian berkenaan.

Hari Bumi ini adalah merupakan masa yang tepat untuk semua bersatu padu dalam menjalankan peranan kita bagi memelihara bumi terutama alam sekitar indah yang tedapat di Negara Brunei Darussalam. Dalam kita sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 dan mengamalkan penjarakkan sosial, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam menyeru agar rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk turut serta dalam mengamalkan "tindakan iklim" dari rumah masing-masing. Sememangnya tempat yang paling berkesan bagi memulakan tindakan iklim adalah di rumah sendiri dan tiada masa lagi yang lebih sesuai untuk melakukannya melainkan sekarang.

Kementerian Pembangunan telah melancarkan inisiatif penanaman 200 pohon pokok untuk melambangkan pokok-pokok yang diperlukan untuk mengimbangi purata jejak karbon (carbon footprint) bagi penduduk di Negara Brunei Darussalam setiap tahun. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peserta yang telah secara sukarela menanam pokok-pokok ini di rumah mereka dalam usaha meningkatkan penyerapan karbon Negara. Selain itu, kami ingin menggalakkan setiap penghuni rumah untuk menanam lebih banyak pokok di kawasan mereka.

Tindakan Iklim yang boleh dilakukan di rumah termasuklah, dan tidak terhad kepada, penggunaan elektrik dan air yang berhemah, beralih ke lampu LED, mengurangkan pembuangan sampah di rumah, mengamalkan kompos sampah hijau, menggunakan semula barangan terpakai, atau meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai perubahan iklim. Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam adalah digalakkan untuk mengira jejak karbon (carbon footprint) masing-masing dan belajar cara untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka dengan melayari laman web "https://carbon.green-brunei.com".

Sebagai penutup, izinkan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Organisasi Bukan Kerajaan dan sektor swasta yang terus menerus memimpin usaha yang berkaitan dengan "Tindakan lklim" dan inisiatif lain yang berkaitan dengan alam sekitar sepanjang tahun. Adapun tindakan iklim adalah tindakan untuk semua.

Attachments