Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis Jerayawara BHD 03(03/2020): Pendaftaran Pemaju Perumahan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Mac. – Kementerian Pembangunan melalui Divisyen Pengurusan Lembaga telah mengendalikan Majlis Jerayawara Lembaga Pemaju Perumahan (BHD) 03(03/2020): Pendaftaran Pemaju Perumahan yang diadakan di Dewan Betabur, kementerian ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria selaku Pengerusi Lembaga Pemaju Perumahan.

Dalam ucapannya, Pengerusi Lembaga Pemaju Perumahan memaklumkan Perintah Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), Housing Development Order (HDO) 2012 telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 16 Ogos 2012 yang akan dikuatkuasakan pada tahun ini. Sementara itu, Lembaga Pemaju Perumahan yang ditubuhkan pada 25 April 2018 adalah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan proses pendaftaran dan peraturan-peraturan untuk menjalankan perintah berkenaan.

1_Majlis Jerayawara BHD 03(03.2020) Pendaftaran Pemaju Perumahan.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) selaku Pengerusi Lembaga Pemaju Perumahan ketika menyampaikan kata alu-aluan.

Tujuan Perintah Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), HDO 2012 adalah untuk melindungi kepentingan orang ramai atau pembeli rumah di pasaran swasta, dengan menyediakan keperluan tertentu untuk pemaju seperti perlesenan, deposit projek akaun, pengauditan akaun dan penguatkuasaan.

Perlesenan Pemaju Perumahan ini adalah bagi kemajuan perumahan atau mixed development (perumahan dan komersial) yang melebihi empat (4) unit dan ke atas.  Lesen pemaju perumahan adalah termasuk proses kebenaran pembangunan seperti mendapatkan Planning Approval, Building Plan Approval dan Occupation Permit.

Lembaga Pemaju Perumahan membentangkan mengikut Seksyen 11, HDO 2012 dimana Pemaju Perumahan Berlesen sahaja yang dibolehkan untuk menggunakan perkataan-perkataan "pemaju perumahan" atau "housing developer" atau mana-mana kata terbitannya atau mana-mana perkataan yang menunjukkan perlaksanaan pemajuan perumahan.

2_Majlis Jerayawara BHD 03(032020) Pendaftaran Pemaju Perumahan.jpg

SESI soal jawab diantara Pengerusi Lembaga, Ahli-ahli Lembaga dan Pendaftar Lembaga Pemaju Perumahan bersama pemaju-pemaju perumahan, pembina-pembina dan jemputan lain.

Pengerusi Lembaga Pemaju Perumahan juga memaklumkan bahawa pendaftaran sebagai Pemaju Perumahan akan dibukakan pada 1 April 2020. Pendaftaran ini membolehkan Lembaga Pemaju Perumahan mengenalpasti pemaju perumahan yang menjalankan projek perumahan dan mixed development.

Permohonan dan borang pendaftaran bolehlah didapati daripada Urusetia Lembaga Pemaju Perumahan, Divisyen Pengurusan Lembaga, Kementerian Pembangunan, Tingkat Bawah, Bangunan Kementerian Pembangunan atau melalui emel ke bhd.sec@mod.gov.bn. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi sekretariat Lembaga Pemaju Perumahan ditalian 2383222 ext 179/165.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli dan Pendaftar Lembaga Pemaju Perumahan, pemaju-pemaju perumahan, pembina-pembina, pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan dan Majlis Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA).

Sumber: Siaran Akhbar Divisyen Pengurusan Lembaga, Kementerian Pembangunan.

Attachments