Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian

Berita: Haji Ariffin bin Mohamad Noor / Morshidi

1_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan dokumen kontrak.

BERAKAS, Sabtu, 29 Februari – Dalam usaha untuk terus bergiat aktif dalam merancang dan meneliti keperluan awam serta melaksanakan projek-projek untuk menaiktaraf dan penyelengaraan terhadap infrastruktur yang sedia ada, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya telah mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak dan Penyerahan Dokumen Kontrak bertempat di Dewan Simpur Atria, Jabatan Kerja Raya, di sini.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan surat lantikan kerja bagi kerja-kerja konsultasi ke atas beberapa projek Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan. Dengan adanya kontrak ini diharap akan dapat mempertingkatkan lagi pemodenan landskap prasarana dan kemudahan awam agar ia dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dan penduduk di negara ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan penandatangan dokumen kontrak diantara JKR bersama syarikat-syarikat yang terpilih.

2_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi projek pembisaian Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Projek pembisaian Pekan Bangar, Daerah Temburong yang turut meliputi kerja-kerja pembaikan infrastrukturnya bakal dilaksanakan selama enam bulan. Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) akan antara lain melibatkan penaiktarafan jalan-jalan raya di kawasan sekitar Pekan Bangar diikuti menaiktaraf ke atas kawasan Dermaga Sungai Temburong serta menaiktaraf kawasan pejalan kaki dan membina kawasan pejalan kaki beratap yang baharu.

Projek bernilai BND7,916,818.60 turut melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu-lampu jalan baharu serta membuat kalbat kekotak (box culvert) dan longkang (slotted drain) akan dilaksanakan oleh syarikat Pro-Builder Sdn. Bhd.

3_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi kerja-kerja mengganti baharu penungkat paip air mentah utama dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria.

Sementara itu bagi memastikan bekalan air mentah daripada Stesen Pam Air Badas di Seria sepanjang 12 kilometer menuju Loji Rawatan Seria tidak terjejas, satu projek bernilai BND1,222,220.00 akan diungkayahkan oleh Impian Reka Bina Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja mengganti baharu penungkat paip air mentah utama dari Stesen Pam Air Badas ke Loji Rawatan Air Seria yang bakal siap dalam masa 24 bulan.

4_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi projek menaiktaraf sistem pembentungan di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria.

Satu lagi projek yang menyaksikan penandatangan dokumen kontrak pada majlis tersebut ialah projek bagi menaiktaraf sistem pembentungan di Kawasan Perbandaran Kuala Belait dan Seria bagi tempoh selama 30 bulan.

Projek tersebut yang merupakan sebahagian daripada RKN Ke-11 akan melibatkan kerja-kerja penerusan tindakan pro-aktif dalam membuat pemeliharaan ke atas aset jabatan dan memastikan aliran air kumbahan berjalan lancar dan tidak mengalami masalah tersumbat serta mengurangkan kos pemeliharaan dan penyelenggaraan paip pembentung. Projek tersebut bernilai BND4,269,756.00 dan akan dilaksanakan oleh Astal Engineering Sdn. Bhd.

5_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi projek membaikpulih kerosakan ke atas permukaan jalan raya di sepanjang Jalan Rasau, Kuala Belait.

Bagi membaikpulih kerosakan ke atas permukaan jalan raya di sepanjang Jalan Rasau, Kuala Belait, satu projek bernilai BND500,000.00 turut menyaksikan penandatangan dokumen kontrak yang dilaksanakan oleh Kayamas Maju Sdn. Bhd. Projek tersebut kelak bakal mempertingkatkan keselesaan dan keselamatan para pengguna jalan raya yang akan dilaksanakan selama 24 bulan.

6_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi kerja-kerja penggantian paip-paip utama yang lama bagi kawasan Andulau, Sungai Mau dan Merangking di Daerah Belait.

Dalam pada itu, bagi memastikan bekalan air bersih yang kelak akan seterusnya berpotensi mempertingkatkan lagi aktiviti perekonomian setempat, kerja-kerja penggantian paip-paip utama yang lama bagi kawasan Andulau, Sungai Mau dan Merangking di Daerah Belait bakal mengambil tempat. Projek tersebut yang dibawah RKN ke-11 bernilai BND1,168,271.00 akan dilaksanakan selama 24 bulan oleh Syarikat Noor Laila Jaya (Enterprise) (B) Sdn. Bhd.

7_JKR meterai enam dokumen kontrak perjanjian.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyaksikan penandatanganan kontrak bagi kerja-kerja melancarkan pengaliran sungai dan mengurangkan potensi banjir di Kawasan Kampung Rempayoh.

Sementara itu satu projek bernilai sebanyak BND871,750.00 yang akan dilaksanakan oleh J. Y. C. Sdn Bhd bagi tempoh 24 bulan bagi kerja-kerja melancarkan pengaliran sungai sekali gus mengurangkan potensi banjir di kawasan Kampung Rempayoh.

Dengan terlaksananya projek tersebut, ianya bakal meningkatkan pengaliran air sungai dan kapasiti sungai berkenaan. Skop kerja bagi projek ini termasuk pembuangan selut, pasir, tanah, kayu dan tumbuhan di mana ianya boleh menyebabkan banjir di kawasan berkenaan.

Majlis juga turut menyaksikan penyerahan dokumen kontrak di atas dan diselajurkan dengan penyerahan surat lantikan konsultan kepada Othman & Associates Consulting Engineers bagi Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Agis-Agis, Daerah Belait dan kepada Konsultan MWH bagi Projek Membina Stesen Pengepam Air Mentah Baharu Badas dan Memasang Paip Air Mentah Baharu Badas ke kawasan Spark.

Sebelum majlis berakhir, Yang Berhormat Menteri Pembangunan kemudiannya turut berkesempatan melihat pameran mengenai projek-projek tersebut. Turut hadir di Majlis Menandatangani Kontrak tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan

Attachments