Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kualiti air kekuningan sentiasa dipantau

Siaran Akhbar: Jabatan Kerja Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Februari. – Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai warna air kekuningan di kebanyakan tempat pada ketika ini adalah disebabkan oleh kualiti air mentah sungai yang tidak konsisten dan tidak baik.

Perkara ini memerlukan proses rawatan tambahan yang mana akan mengambil masa serta menyebabkan berkurangan penghasilan air bersih loji.

Selain itu, ada juga faktor-faktor lain yang menyebabkan kekuningan air.

Walau bagaimanapun, pihak JKR telah meningkatkan usaha untuk menangani isu air kekuningan dengan melaksanakan pelbagai kerja-kerja operasi seperti: Mencuci tangki-tangki simpanan air; Mengganti paip-paip lama yang sering bocor; Menangani masalah di Loji Rawatan Air berkaitan dengan tangki penapisan, kolam penjernih, dos kimia, pam-pam dan sebagainya; dan Memantau kualiti air mentah sungai dan tahapnya serta melepaskan air empangan apabila perlu.

 JKR juga ingin menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air sendiri untuk memastikan barang tersebut sentiasa dalam keadaan bersih dengan melakukan rutin 'flushing' dan 'backwashing'.

Tangki rumah dan penapis air yang lama tidak dibersihkan akan menyebabkan air masuk berubah warna walaupun keadaan bekalan air di luar kawasan rumah jernih.

Di samping itu, pihak jabatan juga mengawas kualiti bekalan air agar sentiasa mencapai parameter garis pandu Piawaian Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, pihak JKR juga sentiasa menjalankan pemantauan rutin ujian sampel air dari beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara serta melaksanakan operasi 'flushing' rangkaian paip air secara berterusan di kawasan-kawasan terlibat.

JKR juga ingin mengambil peluang ini untuk memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat di dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui 'tanker' atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.

Sekali lagi, JKR ingin meminta maaf atas perkara ini dan ingin berterima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai yang terlibat.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments