Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim kali ke-3

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

Ministers Group Photo BNCCC.JPG

MESYUARAT Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 Januari. Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah bersidang buat kali ke-tiga pada 11 Januari 2020 bertempat di Kementerian Pembangunan. Mesyuarat kali ini diantara lain bertujuan untuk membincangkan deraf Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang disediakan untuk membentuk hala tuju Negara Brunei Darussalam ke arah menjadi sebuah Negara yang rendah karbon serta berdaya tahan dan mampan selaras dengan Wawasan 2035, disamping memelihara kebajikan rakyat dan memastikan persekitaran yang hijau, bersih dan sihat.

Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, Menteri Tenaga. Manakala, ahli-ahlinya pula terdiri dari Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Ali Bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan juga Yang Berhormat Dato Seri Seria Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, Setiausaha Tetap (Tenaga), selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim, Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) dan Yang Mulia Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), selaku Pengerusi Kumpulan Kerja Mitigasi.

Deraf Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah disediakan dengan melibatkan pelbagai pihak-pihak berkepentingan dan ini mencerminkan usaha kerajaan dalam memastikan isu perubahan iklim ditangani secara menyeluruh dan bersepadu memandangkan jua isu perubahan iklim adalah "cross-sectoral" dan memerlukan pendekatan "Whole-of-Nation". Sebanyak 39 buah agensi yang terdiri dari Jabatan-Jabatan Kerajaan, pihak swasta, pusat penyelidikan, institusi-institusi tinggi serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah dilantik sebagai ahli kepada Jawatankuasa Persediaan Dasar Perubahan Iklim. Deraf dasar tersebut juga turut dinilai oleh seramai 51 wakil bagi memberikan pandangan dari perspektif belia.

Dalam melangkah ke dekad yang baru ini, ianya adalah dekad yang menentukan samaada suhu purata dunia akan melebihi had merbahaya iaitu 1.5 darjah Celsius ataupun tidak, maka tahun ini adalah merupakan titik kritikal dan adalah penting bagi Negara Brunei Darussalam untuk mengambil langkah dalam membentuk arah tuju pembangunan yang rendah karbon dan meningkatkan kesediaan dan keupayaan Negara dalam menghadapi kesan-kesan perubahan iklim.

Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah ditubuhkan bagi memperkukuhkan lagi arah urus tadbir perubahan iklim serta memastikan pendekatan secara menyeluruh dalam menangani cabaran dan kesan perubahan iklim di peringkat Negara. Diperingkat operasi pula, Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Climate Change Secretariat) telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan diberikan mandat bagi membangun, melaksanakan, memantau dan menilai dasar, strategi serta tindakan perubahan iklim di Negara Brunei Darussalam disamping berperanan sebagai urusetia bagi menyelaras urus tadbir perubahan iklim.

Sumber: Siaran Akhbar Urusetia Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei.

Attachments