Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA Ke-8

Oleh: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA Ke 8.JPG

DELEGASI yang menghadiri Mesyuarat Kluster Alam Sekitar Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN – Brunei – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP-EAGA) yang ke-8.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Julai. – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan menganjurkan Mesyuarat Kluster Alam Sekitar Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN – Brunei – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP‐EAGA) yang ke‐8, bertempat di Badi'ah Hotel Brunei diadakan pada 25 Julai 2019 dan dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha dan Timbalan Ketua Delegasi Filipina – EAGA Kluster Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Daya Alam – Wilayah XI, Filipina, Ruth M. Tawantawan.

Mesyuarat tahun ini didahului oleh bengkel dua hari mengenai Pelan Tindakan Bandar Hijau (Green City Action Plan, GCAP) yang memberikan pengetahuan dan pemahaman bagi penyerta‐penyerta untuk menghasilkan GCAP bagi bandar mereka sendiri ke arah memenuhi Inisiatif Bandar‐Bandar Hijau (Green Cities Initiative, GCI) BIMP-EAGA yang bertujuan untuk mempromosikan bandar yang boleh didiami dan mapan di kalangan negara peserta. Setakat ini bandar Kota Kinabalu, Malaysia dan Kendari, Indonesia berjaya menghasilkan GCAP mereka dan mesyuarat menyokong bagi bandar General Santos, Filipina untuk diberikan bantuan dalam penghasilan GCAP.

Mesyuarat menyokong pencalonan Semenanjung Klias sebagai Tapak RAMSAR ke‐8 bagi Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar, sebuah perjanjian alam sekitar antara kerajaan yang ditubuhkan oleh UNESCO. Mesyuarat itu juga meraikan penerbitan Penyusunan Garis Panduan / Amalan Terbaik untuk Eko‐pelancongan Lestari, Pertanian / Agrikultur dan Amalan Memancing dan pengagihannya kepada ahli kumpulan. Mesyuarat turut membincangkan pencapaian Malaysia dalam pembangunan Modul Pendidikan Alam Sekitar dan Papan Permainan mengenai Alam Sekitar Marin untuk Komuniti di Sabah, Malaysia.

Turut hadir ialah delegasi dari Brunei Darussalam, Malaysia dan Filipina dimana delegasi tempatan diketuai oleh Dayang Martinah binti Haji Tamit, Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, berserta pegawai‐pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan, Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Pengangkutan dan Info‐Komunikasi. Turut hadir ialah rakan sekutu kluster; Majlis Perniagaan BIMP‐EAGA, Pusat Pemudahan BIMP-EAGA, Bank Pembangunan Asia dan ICLEI Asia Selatan.

Dalam kluster alam sekitar tumpuan kerjasama termasuk amalan lestari ekosistem kritikal, penyesuaian dan pengurangan perubahan iklim, daya tahan iklim dan penerokaan inisiatif bandar hijau.

BIMP-EAGA terdiri daripada Brunei Darussalam, Indonesia (Sulawesi, Kalimantan, Maluku dan Irian Jaya), Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan), dan wilayah Filipina (Mindanao dan Palawan). Ia ditubuhkan pada bulan Mac 1994 di Bandar Davao, Filipina semasa Mesyuarat Rasmi Pegawai dan Menteri Kanan yang bertujuan untuk meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan di antara empat wilayah.

Attachments