Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kesihatan, keselamatan perlu diutamakan

Oleh: Sim Y. H.

1_Kesihatan, keselamatan perlu diutamakan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika menyempurnakan Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2019 yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, Lapangan Terbang Lama Berakas.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 April. – Statistik kemalangan dalam industri pembinaan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan penurunan sebanyak 5.8 peratus iaitu daripada 104 kes kemalangan pada 2017 kepada 98 kes kemalangan pada 2018.

Kes kemalangan jatuh dari tempat tinggi adalah yang tertinggi dalam statistik berkenaan dan menurut laporan Kementerian Kesihatan 2017, sebanyak 65 peratus kemalangan di tempat kerja berlaku di non health-care settings dan kebanyakannya adalah kemalangan di tapak pembinaan.

"Kemalangan dan penyakit di tempat bekerja melibatkan kos yang signifikan kepada ekonomi, kerugian tahunan telah dicatatkan sebanyak 3.94 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global seperti yang dianggarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)."

Perkara dan perangkaan itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika berucap pada Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2019 (MKK 2019), Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Jelas beliau lagi, meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan (SDG 8) iaitu Decent Work and Economic Growth.

"Oleh itu, persediaan seawalnya hendaklah dibuat secara berterusan melalui kesedaran komuniti dan pendidikan ke atas bahaya dan risiko kerja bagi mewujudkan generasi yang selamat dan sihat," tambahnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Ir. Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Dayang Alice Lim Sui Kau, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

2_Kesihatan, keselamatan perlu diutamakan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika bergambar ramai.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh ILO yang menganggarkan lebih 2.78 juta kematian pekerja setiap tahun akibat kemalangan pekerjaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan.

Statistik itu juga menyatakan bahawa 2.4 juta atau 86.3 peratus daripada kematian berkenaan adalah disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan, manakala lebih daripada 380,000 atau 13.7 peratus adalah daripada kemalangan di tempat bekerja.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjaan adalah salah satu keutamaan kementeriannya yang termasuk dalam kerangka dasar dan rancangan strategik 2018-2023 Kementerian Pembangunan untuk menjadikan kesihatan dan keselamatan sebagai satu budaya kerja seharian sama ada di tapak-tapak pembinaan mahu pun di tempat kerja masing-masing.

Oleh itu, Occupational Health & Safety Management System Manual (Manual OHSMS) yang telah diterbitkan oleh Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR, jelasnya, bukan hanya tertumpu untuk kesihatan dan keselamatan warga jabatan itu, pekerja-pekerja dan orang awam, malahan ia merupakan salah satu kriteria yang perlu dipatuhi dalam pengurusan kontraktor yang terkandung dalam manual berkenaan.

Ia juga, tambahnya, bagi memastikan semua pihak yang berurusan dan melaksanakan projek dengan jabatan berkenaan melaksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut garis panduan Manual OHSMS dalam pengurusan kesihatan dan keselamatan.

MKK 2019, JKR merupakan kali kedua dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR dan ia adalah salah satu pelan tindakan jabatan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tapak kerja serta diadakan bersempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja Sedunia yang diraikan pada 28 April setiap tahun.

MKK 2019 juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran kepada kakitangan dan pekerja-pekerja terhadap kepentingan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja dan di tapak-tapak pembinaan, untuk meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan di tempat kerja serta untuk mengurangkan kes kemalangan di tempat kerja.

MKK 2019 diadakan selama dua hari bermula hari ini dan antara aktiviti yang diadakan ialah sesi-sesi taklimat dan pameran berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan di tapak pembinaan serta kempen derma darah yang akan diadakan pada 1 Mei.

3_Kesihatan, keselamatan perlu diutamakan.JPG
 YANG Berhormat Menteri Pembangunan diberikan penerangan semasa melawat pameran Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2019.

Pameran-pameran berkenaan yang dibukakan bagi kunjungan orang ramai, disertai oleh jabatan-jabatan di bawah JKR, syarikat pembekalan peralatan keselamatan, penyelia latihan keselamatan dan beberapa buah agensi kerajaan yang berkaitan.

Sumber: Media Permata.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments