Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Penambahan hari Isnin – Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik

​Siaran Akhbar: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Disember. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) hari ini mengumumkan bahawa penambahan hari Isnin kepada Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik akan bermula pada 31 Disember 2018 Masihi bersamaan dengan 23 Rabiulakhir 1440 Hijrah, menjadikannya sepanjang minggu tanpa beg plastik di gedung-gedung dan syarikat perniagaan.

Penambahan tersebut adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik menjelang 1 Januari 2019.

Slogan untuk inisiatif tersebut, 'It takes a nation to end plastic pollution' menekankan pentingnya penglibatan kesemua pihak untuk menjayakan usaha pengurangan pencemaran plastik.

Sepertimana yang diucapkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar di acara Pelancaran Penambahan Hari Khamis ke Arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik pada 19 April lalu, "Kejayaan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini bebas dari pencemaran plastik bergantung sepenuhnya pada tindakan semua pihak, terutama sekali pihak pasar raya dan gedung-gedung perniagaan, pemilik kedai runcit dan orang ramai yang menjadi pengguna beg plastik.

Sekiranya tiada kesedaran di kalangan kita semua mengenai pencemaran dari beg plastik, segala perancangan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan tidak akan berjaya sepenuhnya."

Pada peringkat permulaannya, penambahan hari kepada inisiatif ini akan melibatkan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang sedia ada tersenarai di bawah Inisiatif Tanpa Beg Plastik dan akan diperluaskan dan dilaratkan lagi kepada pengguna beg plastik yang lain seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments