Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Terapkan nilai Islam dalam perancangan bandar, desa

Berita: Hernie Suliana Haji Othman | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Majlis Solat Maghrib dan Isya' Berjemaah Sempena HPBS.JPG

MAJLIS Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 disambut dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isya' Berjemaah.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Disember. – Bagi memeriahkan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah mengadakan Majlis Solat Maghrib dan Isyak Berjemaah bertempat di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Solat Fardu Maghrib Berjemaah diikuti dengan Ceramah Khas disampaikan oleh Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar bertajuk 'Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Perancangan Bandar dan Desa' yang antara lain menyentuh mengenai keharmonian sebuah kejiranan dalam sebuah bandar atau perkampungan yang dibangunkan mengikut perancangan yang diatur.

2_Majlis Solat Maghrib dan Isya' Berjemaah Sempena HPBS.JPG

SAMBUTAN Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Perancangan Bandar dan Desa' disampaikan oleh Pensyarah KUPU SB, Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

Pembangunan sesebuah bandar itu menurutnya, hendaklah seimbang dari segi terdirinya bangunan atau perkampungan itu dengan persaudaraan yang akan wujud di dalamnya, dengan mengambil iktibar dari kisah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semasa berhijrah ke Madinah dari Mekah, di mana Baginda mendahulukan keutamaan mencari tapak tempat tinggal terlebih dahulu, sebelum membina tempat berniaga, membina masjid dan seterusnya memperkuat sektor pertanian yang merupakan salah satu cabang ekonomi pada zaman tersebut.

Di samping itu juga, Baginda jelasnya, mempersaudarakan penduduk Kota Madinah dengan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah untuk membina satu masyarakat berbilang bangsa yang aman dan harmoni.

Majlis diakhiri dengan Solat Isyak Berjemaah yang juga disertai oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments