Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Badan petugas pajakan tanah perlu dibentuk

​Berita dan Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

3_Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018.jpg

 MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap di Majlis Meraikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Disember. – Jabatan Perancang Bandar dan Desa memang menyediakan tapak-tapak tanah serta telah mengenal pasti tapak-tapak tanah yang berpotensi untuk dimajukan, misalnya sebahagian kawasan-kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan juga di luar kawasan RPN, seperti Sibonghutan dan Tanah Jambu untuk tujuan perniagaan, 'corner shops', resort, 'mixed development' atau yang sebanding.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, bagi memastikan pelaksanaan kemajuan ke atas tapak-tapak tanah kerajaan yang telah dikenal pasti untuk diberikan kepada pengusaha-pengusaha atau pelabur-pelabur yang berminat, keadilan dan kesaksamaan dalam mengagihkan kawasan-kawasan ini adalah penting.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa, jelas Yang Berhormat, perlu mencari kaedah yang sesuai untuk diguna pakai di negara kita ini, dengan mengambil kira 'good practices' atau amalan yang telah diguna pakai oleh negara-negara maju, seperti kaedah-kaedah pajakan tanah bagi tempoh tertentu melalui 'open bidding' atau mana-mana kaedah yang difikirkan sesuai di negara ini.

Ke arah itu, Yang Berhormat mencadangkan bagi pembentukan satu badan petugas (atau task force) yang terdiri daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan dan diwakili oleh agensi-agensi kerajaan yang relevan termasuk Syarikat-syarikat Milik Kerajaan (Government Link Company) untuk meneliti mekanisme, modus operandi atau Standard Operating Procedure (SOP) bagi pendekatan pajakan tanah melalui proses 'open bidding' atau kaedah yang sesuai termasuk proses kaedah penilaian dan pelupusan tanah (mechanism of land release) melibatkan tanah-tanah kerajaan secara telus dan dapat menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK yang lebih tinggi.

"Dalam hal yang sama juga, pihak swasta pula perlu tampil ke hadapan untuk sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan cadangan-cadangan pelan-pelan kemajuan, tanpa perlu bergantung harap kepada pihak kerajaan. Kaedah-kaedah yang sudah kitani dengar seperti Public-Private Partnership (PPP), Request For Proposal (RFI), Expression of Interest (EOI), Private Financing Initiative (PFI) perlu dipraktikkan segera," tegas Yang Berhormat semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 yang membawa tema 'Merancang Untuk Perubahan Ke Arah Pembangunan Yang Mampan' bertempat di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Jelas Yang Berhormat, negara ini memerlukan pembangunan yang lebih pesat untuk memastikan visi atau Wawasan Brunei 2035 menjadi realiti.

Perancangan demi perancangan tegas Menteri Pembangunan telah dibuat dan tapak-tapak kosong sudah ada, namun masih terdapat 'missing link' di antara perancangan dan pelaksanaan.

"Kita yakin tapak-tapak yang dicadangkan mampu menghasilkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan melalui kaedah-kaedah yang sesuai," demikian harapan Yang Berhormat.

Terdahulu, Yang Berhormat juga memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Julai 2017 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-71 Tahun, yang menekankan kepentingan sektor awam dan swasta sama-sama berganding bahu meningkatkan daya inovasi dan kreativiti masing-masing sehingga mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.

Ke arah itu, jelas Yang Berhormat, adalah penting bagi kerajaan untuk menumpukan kemajuan terhadap sektor-sektor yang boleh menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dan menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih dinamik dan berdaya tahan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments