Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kerja membaik pulih Loji Rawatan Air Bukit Barun, Tutong

Siaran Akhbar: Jabatan Kerja Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 November. – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kerja-kerja membaik pulih bagi Loji Rawatan Air Peringkat 4 dan 5 Bukit Barun, Tutong sedang dalam proses pelaksanaan.

Kerja-kerja membaik pulih itu sangat penting bagi memastikan Loji Rawatan Air Bukit Barun yang berusia lebih 28 tahun dapat berfungsi dengan efisien dan dapat menghasilkan peningkatan pengeluaran air bersih pada masa hadapan dan seterusnya dapat mengelakkan sebarang gangguan bekalan air kepada orang ramai.

Untuk makluman, pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih itu nanti tidak akan menjejaskan penghasilan air bersih dari Loji Rawatan Air Bukit Barun.

Walau bagaimanapun impak semasa pelaksanaan kerja-kerja tersebut akan menjejaskan efisiensi dan produktiviti loji rawatan berkenaan; dan penghasilan air bersih akan berkurangan.

Ini akan menjejaskan pembekalan air kepada orang ramai, terutama kepada beberapa kawasan penghujung sistem bekalan air di Daerah Brunei dan Muara, khususnya perumahan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan dan kawasan sekitarnya.

Sehubungan ini, JKR melaksanakan beberapa persediaan untuk menangani gangguan air yang mungkin akan kerap berlaku disebabkan kerja-kerja membaik pulih Loji Rawatan Air berkenaan. Ia dijangka mengambil masa lebih kurang 12 bulan dari bermulanya pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

JKR dalam pada itu mengambil dan melaksanakan beberapa langkah bagi menangani gangguan dan memastikan orang ramai mendapat bekalan air secukupnya seperti melaksanakan pembekalan air alternatif dari sumber tangki lain ke sebahagian kawasan perumahan RPN Lambak Kanan bagi membantu mengurangkan gangguan bekalan air; Mengemaskinikan peningkatan penghantaran tangki-tangki air dengan lebih efektif; dan Meningkatkan penyimpanan tangki biru di tempat-tempat yang difikirkan sesuai dan memerlukan juga kawasan tinggi.

Hubungi talian hotline 123 bagi pembekalan air bersih melalui perkhidmatan lori tangki air atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih dan akan sentiasa berusaha memberikan makluman awal berhubung dengan gangguan bekalan air.

JKR pada kesempatan ini ingin memohon kerjasama orang ramai untuk berjimat cermat dalam penggunaan air. Dengan usaha kerjasama dan keprihatinan orang ramai akan perihal penjimatan penggunaan air itu akan dapat mengurangkan gangguan bekalan air ke semua kawasan dan bekalan air akan mencukupi bagi semua pengguna.

JKR juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai mengenai masalah gangguan bekalan air tersebut dan dalam masa yang sama memohon maaf atas kesulitan mahupun masalah yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh gangguan itu.

JKR akan sentiasa berusaha meningkatkan penghasilan bekalan air bagi keperluan orang ramai.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments