Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Khidmat 152 pesara Kementerian Pembangunan dihargai

Berita dan Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

1_Khidmat 152 pesara Kementerian Pembangunan dihargai.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para persara warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 November. – Menghargai masa dan mengisikan sisa-sisa kehidupan dengan memperbanyakkan amalan-amalan berkebajikan selaku hamba Allah adalah antara perkara-perkara yang dituntut, di samping mengeratkan hubungan dengan sesama manusia serta memperbanyakkan zikrullah secara istiqamah.

2_Khidmat 152 pesara Kementerian Pembangunan dihargai.jpg

CERAMAH bertajuk 'Kita Adalah Hamba Allah' disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam Haji Jupri bin Haji Hidup.

Pesanan tersebut merupakan sebahagian daripada kandungan ceramah bertajuk 'Kita Adalah Hamba Allah' yang merupakan sebahagian dari pengisian Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan bagi Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada tahun 2017 disampaikan oleh penceramah undangan daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid, Imam Haji Jupri bin Haji Hidup.

Majlis diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Pada majlis tersebut seramai 152 orang warga Kementerian Pembangunan telah menerima sijil-sijil penghargaan dan cenderahati yang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang juga hadir selaku tetamu kehormat.

3_Khidmat 152 pesara Kementerian Pembangunan dihargai.jpg

ANTARA pesara-pesara warga Kementerian Pembangunan yang hadir.

Majlis yang bertujuan bagi menghargai khidmat bakti para pesara, iaitu menyaksikan seramai sembilan penerima daripada Kementerian Pembangunan; enam daripada Jabatan Kemajuan Perumahan; 12 daripada Jabatan Ukur; 14 dari Jabatan Tanah; lapan dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa; 10 daripada Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan 93 penerima dari Jabatan Kerja Raya.

Juga hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-setiausaha Tetap, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Ir. Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad serta ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments