Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kumpulan GST juara Konvensyen KKC

Berita dan Foto: Saerah Haji Abdul Ghani

1_KKC Kementerian Pembangunan 2018.jpg

TIMBALAN Menteri Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin menyampaikan hadiah kepada Kumpulan GST (Jabatan Ukur), juara Konvensyen KKC Peringkat Kementerian Kali Ke-21 bagi Tahun 2018 Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Ogos. – Kumpulan GST dari Jabatan Ukur diumumkan sebagai juara bagi Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Kementerian Kali Ke-21 bagi Tahun 2018 Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Juara memperolehi markah sebanyak 57.31 peratus dengan tajuk 'Kelewatan Mengemaskini Rekod Pengeluaran Barang Gunahabis'.

Naib juara disandang oleh Kumpulan MUTA'ALLIQ dari Jabatan Ukur dengan tajuk 'Penggunaan Kertas yang Meningkat' dan memperolehi markah 52.48 peratus diikuti tempat ketiga Kumpulan PGS17/18 juga dari Jabatan Ukur yang memperolehi markah 52.17 peratus dan mengetengahkan tajuk 'Sistem Peralamatan Rumah Kurang Teratur'.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Juga hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Pembangunan selaku Timbalan Pengerusi Konvensyen KKC, Kementerian Pembangunan, Awang Mohamad Iskandar bin Haji Idris; Ketua-ketua Jabatan; Ketua-ketua Divisyen / Unit; pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sebanyak 11 projek KKC yang terdiri daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan menyertai konvensyen tersebut.

Kumpulan-kumpulan yang memperolehi markah melebihi 50 peratus iaitu GST, MUTA'ALLIQ, PGS 17/18, BAKTI dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya dan BEL 1718 dari Jabatan Ukur akan mara ke Konvensyen KKC di Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan nanti.

Konvensyen KKC Peringkat Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Kementerian Pembangunan, antaranya bertujuan bagi menggalakkan setiap jabatan di bawah kementerian berkenaan untuk mengadakan kumpulan-kumpulan bertindak bagi menangani masalah-masalah yang dikenal pasti di jabatan masing-masing, sebagai usaha pembaikan secara berterusan ke atas proses kerja bagi memperbaiki perkhidmatan yang diberikan dapat meningkat dan bagi mencapai tahap yang lebih tinggi dalam prestasi, kualiti dan produktiviti perkhidmatan.

Hasil KKC diharap dapat dibudayakan sebagai satu kaedah atau cara yang boleh meningkatkan pencapaian yang memberikan kesan positif, bukan sahaja kepada jabatan masing-masing, malahan juga kepada kementerian dan negara.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments