Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Negara lahirkan ramai profesional teknikal setanding Negara ASEAN

Berita dan Foto: Hernie Suliana binti Haji Othman

2_Majlis Penyampaian Sijil ASEAN Architect dan ASEAN Chartered Professional Engineer.jpg

MENTERI Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil ASEAN Architects dan ASEAN Chartered Professional Engineers.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Julai. – Negara Brunei Darussalam setakat ini telah mendaftarkan seramai 35 ahli berdaftar kepada ASEAN Architect dan ASEAN Chartered Professional Engineer, terdiri daripada 13 arkitek dan 22 jurutera profesional.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada Majlis Penyampaian Sijil ASEAN Architect (AA) dan ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE) yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, di sini.

Ini, tambahnya, menunjukkan bahawa warga profesional negara kita tidak ketinggalan untuk sama-sama mendukung dan menuju ke arah Wawasan Brunei 2035 melalui perkembangan kepakaran yang berterusan, di samping mempunyai kemampuan untuk melahirkan lebih ramai lagi para profesional yang setanding dengan luar negara dalam aspek teknikal dan kompetensi di bidang masing-masing.

1_Majlis Penyampaian Sijil ASEAN Architect dan ASEAN Chartered Professional Engineer.jpg

HADIR selaku tetamu kehormat Menteri Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Acara penyampaian Sijil AA dan ACPE tersebut merupakan acara tahunan Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) di mana pada tahun ini empat Arkitek dan sebelas Jurutera Profesional telah diterima dan didaftarkan.

Pendaftaran seperti ini merupakan peluang untuk menjelajahi dan merentasi sempadan melalui ASEAN Mobility untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih dari 600 juta penduduk ASEAN.

Majlis juga diselajurkan dengan Penyampaian Sijil Pengiktirafan di mana Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei disenaraikan sebagai Institusi Profesional yang diiktiraf bagi PUJA Professional Assessment Route 1 mulai 12 Jun 2018, diterima oleh wakil Timbalan Presiden PUJA, Awang Haji Mohamad Zin bin Haji Salleh.

3_Majlis Penyampaian Sijil ASEAN Architect dan ASEAN Chartered Professional Engineer.jpg

MENTERI Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan Sijil ASEAN Architects kepada salah seorang penerima yang berdaftar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) selaku Pengerusi BAPEQS, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ketua Divisyen Pengurusan Lembaga selaku Pendaftar BAPEQS, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Md. Ali dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Dayang Alice Lim Sui Kau.

Terdahulu, Pengerusi BAPEQS dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, setakat ini seramai 184 arkitek, jurutera profesional dan juruukur bahan telah berdaftar dengan BAPEQS dari jumlah tersebut 35 orang telah layak dan diterima untuk berdaftar sebagai AA dan ACPE, yang menunjukkan tahap kelayakan di negara ini adalah setanding dengan para profesional di negara-negara ASEAN yang lain.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Pemaju Perumahan atau Board of Housing Developers yang baru dilantik pada bulan Jun 2018 telah diamanahkan untuk menguatkuasakan Perintah Pemaju Perumahan 2012 dan dijangka akan dijalankan dalam tahun 2019.

Manakala Lembaga Penilai dan Ejen Harta Tanah yang dilantik di bawah peruntukan Perintah Penilai dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2016 kini dalam persediaan untuk membukakan pendaftaran secara pentadbiran terlebih dahulu bagi Penilai dan Ejen Harta Tanah yang sedang beroperasi di negara ini.

BAPEQS ditubuhkan untuk mendaftar, mengawalselia kelayakan dan amalan arkitek, jurutera profesional dan juruukur bahan yang memberikan perkhidmatan seni bina, kejuruteraan profesional dan ukur bahan di negara ini, di samping terlibat di dalam perundingan melalui ASEAN Coordinating Committee on Services bagi pendaftaran AA dan ACPE sebagai menggalakkan pergerakan para profesional di rantau ASEAN.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments