Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
JKR: Sumber kualiti air mentah terjejas

Siaran Akhbar: Jabatan Kerja Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Jun. – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kepada orang ramai bahawa akibat daripada kejadian banjir baru-baru ini disebabkan oleh hujan lebat yang kerap telah menjejaskan sumber kualiti air mentah di Sungai Tutong.

Kualiti air mentah yang terjejas menyebabkan tugas merawat air menjadi lebih kompleks dan sukar. Walau bagaimanapun, ia adalah perlu bagi memastikan kualiti air mencapai Piawai WHO.

Di samping isu kualiti dan kuantiti juga dihadapi oleh jabatan ini berpunca daripada paip utama di Loji Rawatan Air Bukit Barun yang pecah dan ia mengakibatkan kuantiti air bersih yang dibekalkan ke Daerah Brunei dan Muara terutama ke kawasan Lambak serta Madang terjejas. Walau bagaimanapun, paip utama berkenaan telah pun siap diperbaiki pada 23 Jun 2018, jam 3.30 pagi.

Pihak JKR juga ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa usaha bagi menangani kedua-dua isu, iaitu kualiti dan kuantiti bekalan air sedang dilaksanakan.

Setelah kedua isu-isu berkenaan ditangani, langkah seterusnya adalah untuk mengimbangi paras air di dalam takungan utama bagi memastikan bekalan air kepada orang ramai adalah stabil.

JKR juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa jabatan adalah sangat komited dalam memperbaiki bekalan air dan atas sebab ini, pelbagai inisiatif secara berterusan telah diambil. JKR juga melaksanakan usaha-usaha yang perlu bagi memastikan setiap aduan orang ramai akan disiasat dan diambil tindakan.

Jabatan merakamkan kekesalan atas sebab kejadian yang berlaku, di mana ia bertepatan dengan musim perayaan Aidilfitri dan pihak JKR akan terus memaklumkan mengenai perkembangan pembekalan air kepada orang ramai serta ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan juga kesabaran orang ramai.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments