Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
BND 807,279,690.00 diperuntukkan bagi Kementerian Pembangunan

​Oleh: Bolhassan Haji Abu Bakar | Foto: Hamzah Mohidin dan Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 100318_MMNptg-HM2.jpg

 MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa membentangkan mukadimah peruntukkan perbelanjaan bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya pada Tahun Kewangan 2018/2019.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Sejumlah BND 807,279,690.00 diperuntukkan bagi perbelanjaan disokong bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya pada Tahun Kewangan 2018/2019.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar membentangkan perkara tersebut dalam mukadimah pada hari kelima Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Menurut Yang Berhormat, dari jumlah tersebut, BND 101 juta disediakan untuk gaji kakitangan.

Sejumlah BND 186 juta adalah untuk Perbelanjaan Berulang-ulang iaitu bertambah kira-kira sebanyak BND 8.2 juta daripada tahun kewangan 2017/2018; yang antara lainnya mengambil kira penambahan peruntukan di bawah akaun-akaun, iaitu BND 1.12 juta untuk pemeliharaan jalanraya dan pengurusan estate dibawah kawalan Jabatan Kemajuan Perumahan iaitu bertambah sebanyak BND 1 juta; BND 37.2 juta untuk pemeliharaan kemudahan awam dan infrastruktur saperti bekalan air, jalanraya, saliran dan pembetungan bagi kerja-kerja kemudahan awam di seluruh negara di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya; iaitu bertambah sebanyak BND 4.45 juta.

Sementara BND 7.29 juta bagi membiayai perbelanjaan pengutipan sampah di seluruh negara dan pengurusannya di Sungai Paku di bawah kawalan Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi (JASTRE), iaitu bertambah sebanyak BND 1.7 juta.

Manakala sejumlah BND 597.5 juta bagi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) yang mana sejumlah BND 530 juta adalah bagi membiayai perbelanjaan projek Jambatan Penghubung Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong.

Yang Berhormat berkata, bertepatan dengan tema Tahun Belanjawan pada tahun 2018/2019 iaitu 'Perbelanjaan Produktif dan Berinovasi Memelihara Kemakmuran Negara', Kementerian Pembangunan berperanan penting bagi memperkukuhkan keutamaan usaha-usaha strategi bagi mendokong pertumbuhan sosio-ekonomi negara melalui perbelanjaan secara inovatif dan produktif; dengan mengutamakan sifat berhemah.

Dengan peruntukan yang diluluskan, Kementerian Pembangunan akan meneruskan usaha secara 'Whole Of Nation approach' dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur, mempraktikkan metodologi innovatif, 'value for money' dan 'cost effective' bagi menangani isu-isu dan cabaran semasa saperti isu banjir, tanah susur, pengurusan sampah, bekalan air dan pemeliharaan infrastruktur saperti sistem saliran, jalanraya, pembetungan dan alam sekitar secara holistik.

Penekanan juga diberikan kepada penelitian dan pengemaskinian dasar-dasar mengikut kesesuaiannya bagi menangani isu-isu semasa dan mendokong persekitaran perniagaan yang kondusif serta perlaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi dan bermanfaat kepada rakyat dan pertumbuhan ekonomi secara berdaya tahan.

Seterusnya Yang Berhormat menjelaskan mengenai kutipan hasil yang mana setakat ini melalui inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan, Kementerian Pembangunan telah menghasilkan kutipan sebanyak BND 87.97 juta iaitu 75.8 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan bagi bulan Mac tahun kewangan 2017/2018.

Antara usaha-usaha tersebut ialah memperkenalkan caj perkhidmatan (administrative charges) bagi permohonan dan pendaftaran serta langkah-langkah penguatkuasaan dan memperkenalkan 'submission fees' bagi setiap permohonan yang dihadapkan secara online atau melalui kaunter permohonan.

Manakala tunggakan hasil Kementerian Pembangunan sehingga bulan Mac bagi Tahun Kewangan 2017/2018 berjumlah BND 54.07 juta iaitu 24.2 peratus pengurangan dibandingkan dengan tunggakan hasil sebelumnya.

Sumber: Pelita Brunei.

 

3,041.65 hektar tanah digazet bagi pertumbuhan bidang pertanian

Oleh: Bolhassan Haji Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Sejumlah 3,041.65 hektar tanah telah digazetkan oleh Kementerian Pembangunan bagi menggerakkan pertumbuhan bidang pertanian.

Menurut Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, untuk tempoh sehingga tahun 2025 dan seterusnya, Pelan Induk Negara Brunei Darussalam menyarankan kemajuan ditumpukan dalam kawasan yang digelar 'urban footprint' atau kawasan bandar sahaja dengan kemajuan yang lebih mampat atau compact.

Dalam mukadimahnya pada hari kelima Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari kelima di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, di antara strategi utama yang dikenalpasti bagi mempastikan penggunaan tanah yang lebih optima adalah meningkatkan kepadatan tanah, menggalakkan kemajuan sisipan (infill development) dan kemajuan menegak (vertical development).

Dalam hal meningkatkan kepadatan tanah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa sedang giat mengkaji semula kadar kepadatan tanah perumahan yang sedia ada termasuklah nisbah plot atau plot ratio kemajuan.

Pengemaskinian kapasiti undang-undang yang sedia ada untuk memperkesankan tugas-tugas utama jabatan supaya lebih efektif juga sedang dilaksanakan, dan Peraturan-Peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan) telah digubal yang mana telah diperkenankan pada bulan Mei 2017.

Peraturan-Peraturan itu, ujar Yang Berhormat memberi bidang kuasa kepada Jabatan untuk mengenakan kompaun bagi sebarang kesalahan di bawah Bab 23 Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Sumber: Pelita Brunei.

 

378 kes pengubahsuaian dan penambahan rumah di bawah skim RPN tanpa kebenaran

Oleh: Bolhassan Haji Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Sebanyak 378 kes penguatkuasaan pelanggaran syarat telah dijalankan setakat ini yang berhubung kait dengan pengubahsuaian dan penambahan rumah-rumah di bawah skim Rancangan Perumahan Negara tanpa kebenaran dari pihak yang berkenaan.

Bagi menangani isu-isu pelanggaran peraturan dan syarat-syarat perumahan seperti penambahan rumah tanpa kebenaran, membina bangunan berasingan yang berbentuk kekal, mulai bulan Oktober 2017, Jabatan Kemajuan Perumahan telah diberi mandat bagi melaksanakan aktiviti penguatkuasaan mengikut peraturan dibawah Akta Seksyen 23 dan Sekysen 24 Building Control Order (BCO).

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menegaskan perkara itu dalam mukadimah pada hari kelima Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari kelima di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

"Pihak orang ramai adalah dinasihatkan bagi memohon kebenaran dari pihak ABCi bagi sebarang penambahan rumah", tegas Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, usaha yang sama juga dijalankan terhadap penguatkuasaan penyewaan dan penjualan Rancangan Perumahan Negara kepada pihak ketiga dan menjalankan perniagaan.

Usaha bagi mengurangkan tunggakan juga diteruskan dengan pencapaian pengurangan tunggakan sebanyak BND 31.5 juta pada tahun ini dibandingkan dengan tahun lepas.

Dalam pada itu, perkhidmatan pengutipan sampah bagi kawasan perumahan secara berlanggan telah diperkenalkan di Rancangan Perumahan Negara Kampung Lugu bermula Ogos 2017 dan dikuatkuasakan dalam terma persetujuan mendiami rumah untuk dilaratkan kepada kawasan perumahan yang lain.

Mengenai dengan isu kebersihan di dalam kawasan perumahan negara, salah satu langkah adaptasi yang dijalankan masa kini adalah dengan menggalakkan penglibatan penghuni-penghuni perumahan melalui ketua kampung dalam sama-sama memelihara kebersihan persekitaran seperti memotong rumput di kawasan perumahan dan pembersihan longkang tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak Kerajaan.

Contoh-contoh kejayaan langkah kerjasama itu dapat dilihat dari kawasan perumahan saperti Skim Perumahan Meragang, Bukit Beruang di Tutong, Perumahan Rataie di Temburong, Perumahan Panchor (Mengkubau) dan Rimba.

Usaha itu, jelas Yang Berhormat telahpun menunjukkan kepimpinan dan 'mindset' serta semangat yang positif dari Ketua-Ketua Kampung terutama sekali bagi yang bertanggungjawab bagi kawasan Skim Perumahan berkenaan, yang mana dijadikan sebagai inspirasi bagi Ketua Ketua Kampung dan Majlis-Majlis Perundingan Kampung yang lain untuk mencontohinya.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Beberapa langkah dilaksana tangani hakisan Pantai Danau

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Beberapa langkah telahpun dibuat termasuk langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi mengawal hakisan di Pantai Danau, Telisai dengan melaksanakan beberapa pecahan projek mengikut peruntukan dan kebenaran yang diberikan.

"Projek mengawal hakisan pantai di Kampung Danau sudah pun mula dilaksanakan pada tahun 2008 yang mana projek ini telah pun berjaya mengawal hakisan pasir pesisir pantai sepanjang 2.3 kilometer dengan membina 8 buah headland atau struktur pemecah ombak.

Pihak kementerian telah merancang untuk melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai sepanjang 2.5 kilometer lagi iaitu projek pengawalan hakisan diteruskan sepanjang 600 meter selaras dengan projek-projek yang telah dilaksanakan", ujar Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menjawab soalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit mengenai tebing pantai susur di Danau pada hari kelima Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bagi menangani keadaan hakisan seterusnya, Kementerian Pembangunan melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 akan berusaha untuk mengeluarkan tawaran bagi kawalan pesisiran sepanjang pantai Kampung Danau yang dijadualkan akan dikeluarkan tawaran pada sedikit masa saja lagi, bagi menangani hakisan di kawasan pesisir Pantai Telisai Danau.

Dengan penyiapan projek itu nanti katanya, akan dapat mengawal dan menstabilkan hakisan di kawasan tersebut yang melibatkan kira-kira 2 kilometer pesisir pantai dan ini termasuklah juga kawasan Keramut yang melibatkan kawasan pam bagi pengambilan air masin untuk ternakan udang hidup juga ikut terhakis sama.

Mengenai soalan tapak pembuangan sampah yang memerlukan pengawasan, Menteri Pembangunan menjelaskan, keadaan tapak-tapak pembuangan sampah yang disediakan oleh pihak kerajaan akan sentiasa dan secara rutin dipantau dan diawasi oleh pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Pihak jabatan terangnya, juga ada merancang untuk menambah baik keadaan tapak-tapak pembuangan sampah yang difikirkan perlu bagi keselesaan dan kemudahan pengguna-penggunanya.

Jelasnya, ini termasuklah mengganti kontena-kontena dan tong-tong sampah yang sudah rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Menambah kapasiti tempat pembuangan sampah berkenaan, membisaikan dan mencantikkan keusulan dan penampilan tapak seperti menyimpan landskap di sekeliling tapak dan juga menempatkan penjaga bagi mengawasi tapak-tapak berkenaan.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Pemeliharaan dan pembersihan longkang elak banjir

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Jabatan Saliran dan Pembetungan akan sentiasa meneruskan kerja-kerja pemeliharaan dan juga pembersihan longkang-longkang bagi mengelakkan kejadian banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di negara ini.

Projek-projek bagi mengurangkan kejadian-kejadian banjir di tempat-tempat yang mudah banjir telah pun banyak dilaksanakan di Daerah Tutong dan mengikut keutamaan tempat-tempat yang memang selalu dilanda banjir menjadi tumpuan untuk diteruskan kerja-kerja pembersihan ataupun 'routine maintenance'.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong pada Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sesi petang yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Penyediaan pejalan kaki bagi kemudahan orang awam

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Penyediaan pejalan kaki bagi kemudahan orang awam, telah pun ada dalam perancangan apabila pembinaan-pembinaan 'probation' pembinaan jalan raya dan juga pembangunan-pembangunan secara 'private'.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, keperluan-keperluan itu tertakluk kepada tempat-tempat dan keadaan-keadaannya dan kalau ada keperluan memang akan dimasukkan.

Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut pada hari kelima Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad mengenai 'connectivity' antara infrastruktur-infrastruktur bangunan kawasan letak kereta dan kemudahan awam untuk memudahkan lagi orang ramai untuk berjalan kaki.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Langkah atasi banjir giat dilaksanakan

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, Jabatan Saliran dan Pembetungan memang mempunyai strategik bagi mengatasi masalah-masalah banjir.

Menurut Yang Berhormat, beberapa langkah telah pun dilaksanakan melalui projek-projek yang di bawah peruntukan Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 dan permohonan RKN 11 termasuk peruntukan jabatan.

Bagi jangka pendek menjalankan kerja-kerja pemeliharaan dan pemantauan ke atas sistem saliran termasuklah longkang, any out fall menuju ke laut yang ada secara berancang dan berterusan, mempertingkatkan sistem saliran bagi kawasan-kawasan yang mengalami masalah kebanjiran dan juga membina tembok banjir di beberapa tempat yang dilanda banjir.

Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari mengenai perancangan pihak jabatan dalam menangani masalah banjir 'as a whole nation' pada hari kelima Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bagi jangka masa panjang, selaras dengan hasil kajian Pelan Induk bagi meningkatkan sistem saliran di kesemua daerah bagi menangani masalah banjir permohonan projek-projek baharu akan diteruskan dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 dan seterusnya.

Di samping itu katanya, rancangan jabatan bagi mengurangkan kos di kawasan-kawasan yang mengalami masalah banjir.

Projek-projek tersebut terangnya, merangkumi kerja-kerja pembinaan tadahan, tembok 'flat wall', pembinaan 'stream drains', longkang-longkang (drains) yang konkrit, pembinaan babang serta kajian-kajian yang berterusan bagi menganalisis fungsi sistem saliran yang ada dan menjalankan perubahan mengikut situasi terkini.

Sumber: Pelita Brunei.

 

300 unit rumah pangsa di kawasan RPN Lambak Kanan dalam penelitian sebelum diserahkan

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Sebanyak 300 unit jenis rumah pangsa di kawasan RPN Lambak Kanan sudah siap dibina seperti yang telah dinyatakan pada bulan Februari tahun 2018.

"H40 apartment mempunyai 7 tingkat dengan kemudahan 4 bilik tidur dan setiap ruang unit ruang untuk letak kereta, kawasan riadah, surau dan juga ada lif bagi setiap blok," jelas Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar di hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Pada masa ini katanya, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan masih dalam proses penelitian sebelum ia diserahkan.

Menurutnya, kemungkinan H40 berkenaan untuk di out-source ataupun di PPP dan juga diambil kira dan masih dalam proses perbincangan awal bersama dengan agensi-agensi berkepentingan.

Mengenai Projek PPP, Yang Berhormat memang bersetuju bahawa satu kaedah bagi membiayai infrastruktur institusi perumahan adalah melalui PPP dan pada masa ini, Kementerian Pembangunan mencuba untuk satu tapak iaitu di Kampung Lugu, kalau ia sukses mungkin akan dilaratkan lagi kepada tapak-tapak lain. Untuk makluman juga pada masa ini penyediaan untuk menawarkan kepada pihak yang berkeinginan untuk ikut serta dalam PPP akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi.

Ulasan adalah jawapan kepada soalan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman menyentuh mengenai dengan projek perumahan apartment bertingkat tinggi yang telah siap dibina di atas tapak kawasan Lambak Kanan pada bulan November yang lepas dan aktiviti Private Public Partnership (PPP) juga turut dipertanyakan yang masih samar-samar perkembangannya di negara kita.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty juga percaya akan keberkesanan penggunaan keadah PPP bagi skim-skim rancangan perumahan negara masa akan datang.

PPP merujuk kepada perjanjian kontrak jangka panjang untuk menyampaikan perkhidmatan awam iaitu terdapat tahap perkongsian risiko yang ketara antara sektor awam dan swasta dan ia lebih berpotensi untuk dimajukan melalui kaedah ini.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Projek perumahan akan dilaratkan ke kawasan dikenal pasti di Daerah Temburong

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Projek perumahan di Kampung Rataie akan dilaratkan di tempat-tempat lain mengikut kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti di Daerah Temburong dan juga mengikut pelan-pelan tempat yang dirancang atau dibuat oleh Perancang Bandar dan Desa.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan demikian ketika menjawab soalan dan cadangan yang diutarakan oleh Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Kalau ada keperluan katanya, memang akan diteruskan memandangkan Daerah Temburong merupakan satu tempat yang mempunyai penduduk yang tidak begitu ramai tetapi sekiranya Jambatan Temburong akan siap satu masa nanti, Daerah Temburong pasti akan mempunyai ramai penduduk.

Mengenai pemeliharaan jalan raya pula, Yang Berhormat memang mengambil maklum dan perkara tersebut akan diusahakan untuk diperbaiki kerana alhamdullilah peruntukan kewangan bagi pemeliharaan infrastruktur pada tahun ini nampaknya bertambah.

"Mudah-mudahan dapat diteruskan usaha-usaha untuk pemeliharaannya dan mengenai Jalan Belais iaitu jalan-jalan alternatif memang diakui perlu untuk mengadakan satu jalan alternatif dan ini akan perlu dibuat kajian lebih dahulu," tambahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Masalah isu kerosakan rumah teres dalam perundingan

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah pun mengadakan beberapa perundingan dengan pihak-pihak tertentu yang membina rumah sebelum ini iaitu pihak BEDB dan mengenal pasti sebanyak lebih kurang 470 unit teres rumah yang kosong yang bukan terbiar tetapi mungkin disebabkan ada masalah-masalah isu kerosakan dan sebagainya.

Perkara itu telah pun dirundingkan bersama dengan pihak-pihak yang berkenaan supaya kontraktor-kontraktor, pemborong-pemborong yang telah membina perumahan sebelumnya akan bertanggungjawab memastikan bahawa perumahan itu akan dibaiki.

Demikian penjelasan daripada Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

"Memandangkan perumahan-perumahan ini banyak kosong dan terbiar, maka banyak kerosakan yang didapati kerana ia telah pun di-vandalised dan banyak perkara yang kurang elok yang telah pun dibuat di rumah-rumah yang kosong ini," jelasnya lagi.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin pada awalnya bertanya kenapa masih ada rumah-rumah di bawah Skim Perumahan Negara masa ini telah didapati terbiar kosong tanpa diisi dan didiami oleh manusia walhal rumah-rumah berkenaan nampak sudah siap untuk didiami tetapi terbiar tanpa diduduki untuk sekian masa yang lama dan dikhuatiri rumah-rumah kosong dan tidak didiami ini boleh rosak begitu sahaja.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan akan memastikan bahawa unit-unit yang kosong tersebut akan sentiasa dibaiki dan setelah ia dibaiki akan diberikan kepada pemohon perumahan selanjutnya.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Penubuhan Jawatankuasa Taskforce untuk pemborong

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Menubuhkan satu Jawatankuasa Taskforce untuk memastikan bahawa pemborong-pemborong kita akan berjaya akan dirundingkan bersama pihak-pihak yang berkenaan kerana perkara itu melibatkan agensi ataupun pihak-pihak yang berkepentingan untuk sama-sama diteliti keperluannya.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjawab cadangan yang diajukan oleh Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli terlebih dahulu mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Taskforce akan dapat ditubuhkan untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih mendalam memandangkan pada masa ini, belum begitu nampak orang-orang kita berjaya atau kita banggakan sebagai pemborong berjaya.

Beliau turut mencadangkan supaya Dewan Perniagaan Melayu Brunei dan juga Dewan Perniagaan Tiong Hwa akan dilibatkan dalam Jawatankuasa Taskforce berkenaan jika dipersetujui dan dipertimbangkan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menjawab soalan kedua yang diajukan oleh Yang Berhormat mengenai Tajuk SK02A - Jabatan Kemajuan Perumahan, berkenaan dengan kawasan projek perumahan yang terdapat bengkel-bengkel, gerai-gerai kecil, demikian juga gerai di tepi jalan.

Menurut Yang Berhormat Dato, perkara ini memang ada di dalam rancangan mana-mana skim perumahan dan ada disediakan tempat di kawasan-kawasan untuk perniagaan tapi akan diselaraskan dengan agensi-agensi lain seperti Darussalam Asset untuk membukakan peluang secara PPP.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Tapak komersial disediakan di kawasan RPN

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) memang disediakan tapak komersial ataupun local centre dan juga perindustrian kecil yang mana tapak-tapak tersebut adalah untuk dimajukan oleh agensi-agensi berkenaan melalui dasar Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyatakan demikian pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis bagi menjawab cadangan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

"Hampir kesemua kawasan RPN adalah berhampiran tapak perindustrian untuk digunakan sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana seperti Tapak Perindustrian Jalan Pasir Berakas berhampiran dengan RPN Lambak Kanan dan STKRJ Lambak Kiri, Kompleks Perindustrian Anggerek Desa, Tapak Industri Kecil Kompleks Madang, Tapak Perindustrian Salambigar berhampiran dengan STKRJ Tanah Jambu, RPN Tanah Jambu, RPN Mengkubau dan STKRJ Sungai Buloh, Tapak Perusahaan Kampung Mentiri iaitu berhampiran dengan RPN Mentiri, Tapak Perindustrian Muara berhampiran RPN Serasa dan RPN Meragang dan Tapak Perindustrian Sungai Bera berhampiran RPN Lorong Tengah Seria dan RPN Lumut dan juga Tapak Perindustrian Sungai Duhun Kuala Belait berhampiran dengan RPN Pandan," jelasnya.

Menurutnya, penempatan tapak perindustrian ini adalah di kawasan strategik menurut penggunaan tanah kebangsaan dan merangkumi tadahan kawasan perumahan untuk memberikan kemudahan pengangkutan.

Terlalu banyak kawasan industri di kawasan perumahan secara kelompok akan menjejaskan penggunaan tanah yang optimum dan kesemua perancangan perumahan adalah mengikut keperluan masyarakat dan penduduk, piawaian yang ketat juga untuk menyediakan tapak perindustrian mesti disediakan dan diselaraskan.

Pada masa ini ujarnya, semua tapak kawasan industri adalah di bawah kawalan BINA dan agensi lain termasuk tapak di kawasan perumahan diambil oleh DARE.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menyentuh mengenai soalan perancangan untuk membaikpulih jalan-jalan dan simpang yang mana memang Jabatan Kerja Raya mempunyai program-program tertentu untuk melaksanakan apa-apa jua rancangan menaik taraf jalan raya dan program-program seperti melapis semula aspal di rangkaian jalan raya di seluruh negara, program menaik taraf jalan raya, jalan-jalan kecil jalan daerah dan program menaik taraf jalan-jalan simpang di seluruh negara.

"Walaupun keadaan ekonomi negara sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak menjejaskan program-program tersebut, Kementerian Pembangunan akan terus berusaha untuk memastikan peruntukan-peruntukan bagi kerja-kerja pemeliharaan dan juga kerja-kerja upgrading sebagai keutamaan dan juga akan mengkaji semula projek-projek yang telah dilaksanakan sebelum ini terutama sekali program-program pengurusan dan pemeliharaan jalan raya untuk diberi keutamaan," tegasnya.

Antara langkah-langkah yang telah diambil menurutnya ialah dengan meneliti keutamaan bagi satu-satu projek yang lebih menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan bersama, di samping meneliti kaedah-kaedah yang sesuai untuk diguna pakai dalam melaksanakan program-program tersebut.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Perintah bagi mengawal pemaju perumahan

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – TCPO Order 2015 merupakan kajian semula akta 1972 supaya ia lebih komprehensif khususnya dalam penyediaan pelan-pelan pembangunan dan pada masa ini TCPO dalam proses untuk dinotifikasi.

Mengenai Developers Order atau Perintah Pemaju Perumahan Kawalan dan Pelesenan 2012 adalah satu perintah yang mengawal pemaju-pemaju perumahan yang menyediakan perumahan dengan tujuan untuk melindungi kepentingan orang ramai khususnya para pembeli rumah di negara ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman mengenai perancangan yang sudah dibuat oleh pihak kementerian dalam menguatkuasakan lagi akta-akta seperti Town and Country Planning Order 2015 dan Housing Developers Control and Licensing Order 2012 untuk kepentingan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat tempatan dalam melakukan pembelian ke atas bangunan di atas tanah-tanah kemajuan yang dikendalikan oleh para pemaju dan pembina tanah bangunan mahupun rumah-rumah kediaman di negara ini pada hari kelima Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Untuk makluman jelas Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan telah meneliti kesesuaian bagi perintah itu mula untuk dikuatkuasakan memandangkan perintah ini memerlukan penyediaan peraturan-peraturan yang membolehkan pelaksanaan atau implementasi yang berkesan memenuhi objektifnya.

Dalam pada itu, tegasnya, Kementerian sedang dalam proses penubuhan Lembaga Pemaju Perumahan yang seterusnya akan dimandatkan peraturan-peraturan tersebut. Adalah dihasratkan dengan adanya perintah ini nanti akan dapat dikuatkuasakan pada tahun 2019 apabila semua peraturan-peraturan sudah sedia.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Benteng Tembok di Tebing Sungai Temburong berkesan

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mac. – Benteng dan tembok di kawasan Sungai Temburong telah dibina dari Pekan Bangar ke Kampung Menengah yang berkesan menahan tebing sungai dari hakisan dan runtuh serta mengurangkan berlakunya banjir.

"Projek berkenaan terhenti hanya sehingga ke Kampung Sungai Tanit. Memandangkan projek ini sangat membantu keselesaan, keselamatan dan memelihara alam sekitar dan menggantikan kawasan berkenaan, dicadangkan supaya ia dapat disambung semula hingga ke penghujung kampung kira-kira setengah kilometer jauhnya," Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu seterusnya bercakap mengenai Tajuk SK03A - Jabatan Kerja Raya mengenai Benteng Tembok di Tebing Sungai Temburong.

Yang Berhormat turut menyentuh mengenai jalan raya di Daerah Temburong yang juga terdapat jalan-jalan raya yang kecil yang masih lagi terbiar yang telah pun dibina beberapa tahun yang lalu.

Menurutnya, jalan yang terdapat di Kampung Belais (Jalan Tanah Tumpuk Jalan RPN Rataie) menuju ke Rancangan Perumahan Rataie dan termasuklah juga jalan dari Kampung Lepong Lama menuju ke Kampung Sibut dan seumpamanya adalah jalan yang ada keperluannya terutama sekali sebagai jalan alternatif jika berlaku bencana alam seperti banjir dan sebagai jalan kemudahan keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau berharap jalan-jalan yang disebutkan akan dapat dilihat semula kerana ada kepentingannya iaitu bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat ramai walaupun dibubuh dengan batu pasir buat sementara waktu.

Pemeliharaan jalan-jalan utama katanya, begitu juga keadaannya di tempat-tempat lain keadaan jalan utama seperti Jalan Amo, Batang Duri dan Jalan Bokok Temada, Jalan Batu Apoi dan seumpamanya didapati berlubang- lubang disebabkan oleh kenderaan-kenderaan berat.

"Walaupun pihak yang berkenaan telah pun membuat usaha-usaha untuk menangani masalah tersebut tetapi ia kembali lagi berulang berlubang. Perkara tersebut perlu diambil perhatian kerana ia membahayakan pengguna-pengguna jalan raya dan boleh mengakibatkan kemalangan berlaku. Diharapkan ia dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat," ujarnya lagi.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Papan iklan, tanda di bawah ABCi

Oleh: Abdullah Asgar

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan, papan iklan juga papan tanda adalah di bawah kawalan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) sejak Januari 2016.

Sebelumnya, ia dikendalikan oleh Jabatan Perancang dan Desa, Kementerian Pembangunan juga Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, mengikut kawasan masing-masing.

Penjelasan itu bagi menjawab saranan dan cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim mengenai isu yang berkaitan dengan Kod 003 / 000, iaitu Pengurusan Aset Bangunan dan Fasiliti.

Menteri Pembangunan memberi penjelasan pada Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di hari keenam berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut beliau, Peraturan Kawalan Bangunan 2014, Papan Iklan dan Papan Tanda 2016 telah pun dibuat dan mula berkuatkuasa pada 15 Mac 2016.

Semua permohonan katanya, bagi mendapatkan kebenaran iklan, papan iklan dan papan tanda telah pun dipusatkan di ABCi. Ini bermakna pemohon ataupun syarikat pengiklanan hanya perlu menghadapkan permohonan ke ABCi tanpa perlu menghadapkan permohonan ke agensi-agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, bagi tulisan jawi dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi penggunaan logo dan juga Jabatan Jalan Raya bagi pemasangan di tepi jalan raya dan lain-lain agensi mengikut keperluan.

Pihak ABCi tambahnya, hanya akan mengeluarkan surat kebenaran setelah mendapat ulasan dan kebenaran dari agensi-agensi berkenaan, seperti contoh jika tulisan jawi yang dipaparkan pada papan tanda atau papan iklan tersebut belum atau tidak mendapat kelulusan dari DBP, maka pihak ABCi belumlah dapat mengeluarkan kebenaran bagi pemasangan papan-papan tanda atau papan iklan tersebut.

Jelasnya, begitu juga halnya jika cadangan lokasi papan iklan belum mendapat kebenaran dari Jabatan Jalan Raya, maka permohonan tersebut belumlah dapat dipertimbangkan. Dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan 2014, Papan Iklan dan Papan Tanda 2016 telah memperuntukkan tiada seorang pun boleh mempamerkan ataupun menyebabkan atau membenarkan untuk dipamerkan di luar apa-apa iklan, papan iklan animasi, tanda arah, papan tanda atau tanda langit, sama ada di atas permukaan luar mana-mana bangunan atau mana-mana bangunan sebarang premis atau di atas apa-apa struktur iklan yang mandiri tanpa kebenaran bertulis dari pihak berkuasa ABCi.

ABCi telah dan sedang mengadakan perbincangan bersama Pejabat Peguam Negara bagi meneliti semula peraturan yang ada dan ini termasuklah cadangan untuk memberi kuasa kepada agensi-agensi yang berkenaan seperti DBP untuk membuat teguran dan mengambil tindakan bersesuaian jika didapati tulisan jawi di papan tanda iklan tidak mengikut kebenaran.

Sumber: Pelita Brunei.

 

E-Waste perlu diberi perhatian khusus

Oleh: Norliah binti Md. Zain

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Mac. – Masalah pembuangan sisa elektronik ataupun e-Waste yang semakin bertambah di negara ini merupakan masalah sejagat yang perlu diberi perhatian khusus dan tidak terkecuali bagi Negara Brunei Darussalam.

Walaupun setakat ini belum ada disediakan tempat yang khas di setiap daerah bagi pembuangan barang-barang elektrikal dan elektronik, akan tetapi ada syarikat-syarikat kitar semula yang berdaftar di Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi yang boleh menerima sisa-sisa e-Waste tersebut.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Menteri Pembangunan berkata, syarikat-syarikat ini yang akan memilih bahan-bahan yang boleh dikitar semula supaya pelupusan barang-barang buangan jenis kitar semula tersebut dilaksanakan secara teratur.

Langkah ini sejajar dengan dasar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, ujar Yang Berhormat, untuk mempertingkatkan kaedah sistem pengurusan 3R, iaitu 'reduce, reused, recycle'.

Tambah Yang Berhormat, jabatan berkenaan telah pun melaksanakan beberapa inisiatif bagi pengurangan pembuangan sampah-sampah termasuklah barang-barang yang boleh dikitar semula daripada barang-barang elektronik dengan melaksanakan beberapa aktiviti seperti jerayawara, pendidikan, kempen dan informasi melalui laman sosial dan media bersama individu, persatuan-persatuan, badan-badan NGO's dan agensi-agensi kerajaan.

Tujuan inisiatif ini dibuat, jelas Yang Berhormat, untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai di negara ini mengenai bahan-bahan buangan daripada perkakas elektronik (e-waste).

Yang Berhormat menambah, bagi jangka masa panjang Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan meneroka kesesuaian untuk menyediakan tapak yang khusus untuk menyimpan dan memproses dismantling perkakas elektronik bagi memilih bahan-bahan yang boleh dikitar semula sebelum dibuang untuk dilupuskan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan turut menjawab persoalan mengenai usaha Environment Impact Assesment dalam memastikan 'eco-system marine' negara tidak terjejas dengan usaha sektor perikanan.

Di bawah Perintah Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar 2016 (Environmental Protection and Management Order 2016), kata Yang Berhormat menghendaki semua aktiviti terjadual (Jadual 1 di bawah perenggan 9 perintah tersebut) bahawa setiap pemaju yang bercadang untuk melaksanakan aktiviti terjadual hendaklah menghadapkan pemberitahuan bertulis (written notification) sebelum menjalankan aktiviti tersebut, termasuklah sektor perikanan (aquaculture).

Pemberitahuan bertulis tersebut, tegas Yang Berhormat, hendaklah disertakan dengan keterangan-keterangan terperinci seperti mana yang dikehendaki dalam Jadual 2 di bawah perintah berkenaan termasuklah laporan penilaian kesan projek terhadap alam sekitar (environmental impact assessment) EIA yang menggariskan langkah-langkah pencegahan, pengurangan dan cara-cara menangani serta membaik pulih kesan-kesan negatif sesuatu projek terhadap alam sekitar.

Sebagai langkah pemantauan, kata Yang Berhormat, pihak pemaju hendaklah mematuhi garis panduan pengeluaran sisa-sisa buangan bagi mengelakkan pencemaran terhadap alam sekitar.

Ujar Yang Berhormat lagi, dalam penyediaan laporan impak alam sekitar bagi projek perikanan, penyediaan 'base line' bagi kualiti air perlu dibuat untuk mengetahui tahap kualiti air di kawasan berkenaan, sebelum projek dilaksanakan bagi memudahkan proses pemantauan.

Semasa projek dilaksanakan, pemantauan berterusan perlu dibuat oleh pihak pemaju bagi memastikan tiada pencemaran terjadi berpandukan pada garis pandu dan piawaian yang telah ditetapkan.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi jelas Yang Berhornat, juga akan meneliti tahap 'compliance activity' berkenaan.

Sekiranya pihak pemaju mematuhi segala garis panduan dan piawaian yang telah ditetapkan dan mempraktikkan pengurusan yang telah digariskan dalam 'environmental impact assessment' dan pelan pengurusan serta pemantauan alam sekitar dengan betul, tambah Yang Berhormat, 'eco-system' perairan laut atau sungai kita, di Negara Brunei Darussalam dapat dikekalkan dan dipelihara untuk generasi akan datang.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Akta Strata diluluskan tahun 1999

Oleh: Norliah Md. Zain

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan bahawa Akta Strata telah diluluskan pada tahun 1999 dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2009.

Akta tersebut telah pun digubal untuk membolehkan sesiapa sahaja yang berkeinginan untuk memiliki harta tanah berupa unit-unit dalam bangunan.

Demikian jelas Menteri Pembangunan semasa persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Pemilikan secara berstrata, ujar Yang Berhormat, dibukakan kepada sesiapa sahaja, sama ada rakyat Brunei, penduduk tetap atau warga negara asing tertakluk pada pertimbangan jawatankuasa yang meluluskan permohonan pemilikan harta milik strata.

Dalam hal itu, kata Yang Berhormat, tanah tidak dijual atau berpindah milik kepada warga negara asing.

''Tanah masih dimiliki oleh pemilik asal (rakyat), cuma unit-unit dalam bangunan sahaja dijual atas tanah berkenaan bagi tempoh tidak melebihi 99 tahun bagi tanah kekal dan bagi tanah 'lease' (pajakan) adalah satu hari kurang daripada tempoh pajakan dan baki tempoh pajakan dan tidak kurang daripada 20 tahun,'' kata Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, pemohonan pemilikan strata bagi warganegara asing juga melalui proses awal (screening) dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sebelum sebarang pertimbangan mengenainya diberikan.

''Oleh yang demikian, dasar pemilikan tanah rakyat Brunei masih terjaga dan terkawal selaras dengan penggubalan Land Code Amendment Order 2012,'' tegas Yang Berhormat.

Terdahulu, Menteri Pembangunan berkata, dari aspek sejarah, Sultan Abdul Momin yang pernah membuat amanah pada tahun 1885 dalam penyewaan ataupun penjualan pada tanah kepada orang asing.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Peruntukan kerja pemeliharaan jalan raya sebagai keutamaan

Oleh: Hezlinawati Haji Abdul Karim

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Mac. – Isu pemeliharaan jalan-jalan raya yang rosak dan dasar-dasar atau asas-asas yang dirujuk sebagai keutamaan bagi pembaikan jalan-jalan raya yang rosak itu merupakan antara isu yang dibangkitkan semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis.

Isu-isu tersebut dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-14 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari Ketujuh  yang diadakan di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Ketika menjawab mengenai isu tersebut, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menjelaskan bahawa Kementerian Pembangunan memang mengutamakan dan mengambil berat tentang keperluan penyediaan, penyelenggaran dan pemeliharaan jalan raya secara keseluruhan dengan mengambil kira impak kegunaannya yang produktif kepada meransang berbagai aktiviti sosio-ekonomi di samping mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

Perkara ini jelas Yang Berhormat adalah selaras dengan KPI Kebangsaan iaitu Indek Bandar Berdaya Huni dan Mampan (Liveability and sustainable index) dan Kualiti infrastruktur perhubungan seperti dalam Kerangka Wawasan Brunei 2035 di bawah matlamat 2 – taraf hidup yang tinggi dan bidang utama akses kepada dan kualiti tinggi utiliti dan infrastruktur awam.

Negara Brunei Darussalam jelas Yang Berhormat lagi adalah tidak terkecuali seperti juga negara-negara membangun di dunia ini yang mempunyai sistem jalan raya yang canggih yang perlu ada sistem pengurusan bagi kerja-kerja pemulihan jalan-jalan raya.

"Walau bagaimanapun, pemeliharaan aset-aset infrastruktur seperti rangkaian-rangkaian jalan raya yang semakin bertambah dan ageing merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh negara-negara lain termasuklah negara kita. Aset-aset ini memerlukan program pengurusan pemeliharaan berterusan iaitu 'continous maintenance management program' bagi memastikan kitaran jangka-hayat atau 'lifecycle' aset-aset ini akan berpanjangan dan dapat terus berfungsi dan digunakan tanpa menjejaskan kesejahteraan dan keselesaan orang ramai," jelas Yang Berhormat.

Program-program pengurusan dan pemeliharaan yang bersistematik menurut Yang Berhormat adalah sangat penting diteruskan kerana jika program ini terjejas, ia bukan saja akan mengakibatkan perbelanjaan yang tinggi untuk meneruskannya semula malahan juga akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

"Kementerian Pembangunan sememangnya mempunyai strategi-strategi melalui pelbagai program pengurusan dan pemeliharaan jalan raya di seluruh negara sejak dari dulu lagi antaranya Program melapis semula asfal (tar) di rangkaian jalan raya di seluruh negara; program menaik taraf jalan-jalan kecil / jalan-jalan daerah; program menaik taraf simpang-simpang jalan di seluruh negara; program pemeliharaan serta menaikan taraf jambatan-jambatan di seluruh negara; program membaikpulih rangkaian jalan raya yang sedia ada di seluruh negara dan pemeliharan rutin rangkaian jalan raya termasuk potholes repair, pemotongan rumput dan pembersihan jalan raya," kata Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Walaupun keadaan ekonomi negara sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak menjejaskan program-program tersebut, kata Yang Berhormat lagi Kementerian Pembangunan akan terus berusaha untuk memastikan peruntukan-peruntukan bagi kerja-kerja pemeliharaan sebagai keutamaan dan akan mengkaji semula projek-projek yang telah dilaksanakan sebelum ini terutama sekali program pengurusan dan pemeliharaan jalan raya.

Antara langkah-langkah yang telah di ambil ujar Yang Berhormat ialah dengan meneliti keutamaan bagi satu-satu projek yang lebih menjurus kepada keselamatan dan kesejahteraan bersama, di samping meneliti kaedah-kaedah yang sesuai untuk digunapakai dalam melaksana program-program tersebut.

Mengenai dasar-dasar atau asas-asas yang dirujuk sebagai keutamaan bagi kerja-kerja pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, Menteri Pembangunan menjelaskan terdapat beberapa jenis kerosakan jalan raya yang lazimnya diperbaiki dengan tatacara yang berpandukan kepada piawaian tertentu mengikut keadaan kerosakan jalan raya yang dihadapi, melalui strategi dan program pembaikan yang dirancang dengan menggunakan peruntukan tahunan jabatan dan di bawah Rancangan Kemajuan Negara.

Antara lain kerosakan jalan raya yang diberikan keutamaan untuk diambil tindakan serta merta, jelas Yang Berhormat adalah seperti 'pothole' dan kerosakan-kerosakan yang boleh menjejaskan keselamatan para pengguna jalan raya jalan yang terlibat.

Di samping itu, jelas Yang Berhormat lagi program pembaikan yang di rancang seperti program melapis semula permukaan jalan raya yang dikenal pasti telah mencapai seluruh kitaran hayatnya (whole life cycle) yang memerlukan pembaikpulih (rehabilitation) atau pembinaan semula (reconstruction) juga adalah menjadi asas-asas yang dirujuk sebagai keutamaan bagi kerja-kerja pembaikan jalan-jalan raya.

"Antara asas-asas lain yang dijadikan basis bagi menilai kerja-kerja pembaikan ialah dari senarai jalan jalan yang telah kenal pasti yang memerlukan pembaikan berpandukan kepada beberapa pendekatan iaitu keperluan adhoc, rutin dan serta merta; dan keperluan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang" kata Yang Berhormat.

Seterusnya Yang Berhormat berkata asas-asas ini didukung lagi dengan berpandukan kepada Program senarai data-data analisa keadaan struktur jalan raya termasuk jambatan melalui sistem pengurusan IT yang terdapat di Jabatan Jalan Raya, JKR pada masa ini, seperti Road Asset Management System (RAMS), Pavement Management System (PMS) dan Bridge Management System (BMS).

Sumber: Pelita Brunei.

 

JASTRE pastikan bengkel pasang perangkap sisa minyak

Oleh: Haji Ahmad bin Haji Salim

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Mac. –  Menteri Pembangunan, Yang Berhormat  Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, berkata  seperti difahamkan bahawa Pengerusi bagi mengeluarkan Lesen Tahunan Bengkel-Bengkel (workshop) kereta adalah di bawah Jabatan Pengangkutan Darat dan Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi adalah salah seorang daripada ahlinya.

Dalam semua permohonan itu tambahnya sama ada yang membaharui Lesen Tahunan ataupun yang baru memohon, pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) akan memberi syarat untuk setiap bengkel dikehendaki memasang perangkap sisa minyak (waste oil sump) untuk mengumpulkan sisa-sisa minyak tersebut sebelum dihantar ke Pusat Rawatan Minyak Terpakai yang diiktiraf oleh JASTRE.

Yang Berhormat, menyatakan perkara itu ketika menambah jawapan soalan daripada Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman, yang ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri mengenai bengkel-bengkel kereta yang membuang sisa-sisa minyak di longkang yang mencemarkan alam sekitar pada hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis disini.

"Jika peraturan ini tidak dipatuhi, lesen mereka tidak akan dikeluarkan ataupun disambung. Pihak JASTRE dan Jabatan Pengangkutan Darat juga sentiasa membuat pemeriksaan berkala di bengkel-bengkel untuk memastikan workshop ini tidak selarah-larahnya membuang sisa minyak di longkang berdekatan," terang Yang Berhormat.

Mengenai Building Control Order, ujarnya bagi bangunan yang usang ataupun yang kurang elok di kawasan bandaran bidang kuasa pihak ABCi hanya memastikan bahawa semua bangunan yang terdapat di kawasan bangunan ataupun luar bandaran dalam keadaan selamat untuk didiami.

Mana-mana bangunan katanya yang difikirkan tidak selamat dari segi structurenya telah diperiksa oleh QP maka ABCi akan mengarahkan pemilik-pemilik bangunan tersebut untuk mengosongkan bangunan tersebut dan bagi bangunan-bangunan terbiar ataupun kurang elok itu terpulanglah kepada pihak yang berkenaan untuk memaklumkan kepada tuan punya bangunan supaya memastikan bangunan itu diperbaiki ataupun sebaliknya.

Sumber: Pelita Brunei.

 

Pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dalam rancangan

Oleh: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Mac. – Perancangan bagi Pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dari persimpangan di Jalan Muara ke persimpangan Jalan Utama Mentiri termasuk dalam perancangan jalan raya dan dilaksanakan secara berfasa mengikut peruntukan yang disediakan.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman mengenai soalan kesesakan jalan raya di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) di Daerah Brunei Muara.

"Fasa pertama, pembinaan jejambat persimpangan Jalan Utama Mentiri telah pun siap pembinaannya pada tahun 2014.

Manakala fasa kedua Pembinaan Jalan Penghubung sejauh kira-kira dua kilometer, telah dimasukkan dalam perancangan di bawah RPN 11 termasuklah Pembinaan Laluan Khas jejambat tersebut menuju ke RPN di Kampung Mengkubau.

Tawaran bagi projek tersebut telah pun siap dan pelaksanaanya akan bermula pada pertengahan tahun ini," ujar Yang Berhormat Menteri.

Mengenai pemasangan lampu isyarat di Pusing Keliling di Kampung Mentiri, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan kajian telah pun dibuat tentang keperluan dan kesesuaiannya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments