Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
SEMBAHYANG Fardhu Asar Berjemaah diimamkan oleh Pengiran Md Hadi Haqim bin Pengiran Haji Sabli.
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Oktober. – Sempena dengan Sambutan Hari Habitat Sedunia 2023, Jabatan Kemajuan Perumahan mengelolakan Majlis Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Surau Kementerian Pembangunan, Bangunan Kementerian Pembangunan.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Pengiran Md Hadi Haqim bin Pengiran Haji Sabli, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Awang Nurul Izzul bin Haji Zakaria.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam masing-masing dipimpin oleh Awang Mohd Azizul Rahman bin Saban dan Pengiran Mohammad Yasrinal Eddy Abdullah bin Pengiran Haji Ya'akub.
ANTARA yang hadir.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, dan pegawai serta kakitangan Kementerian Pembangunan.
Majlis ini menandakan bermulanya beberapa aktiviti yang akan dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan bersempena dengan Sambutan Hari Habitat Sedunia 2023. Antara aktiviti disusun ialah Pameran Habitat (HABITEX) yang akan disertai lebih 20 peserta yang mempamerkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan berkualiti termasuk produk binaan, hiasan rumah, perbankan dan kewangan, telekomunikasi, makanan dan minuman dan sebagainya.
Sumber: Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.